Wednesday, May 6, 2015

Harap MARA Tidak Bazir Duit Rakyat – KJ


KUALA LUMPUR: Laman sosial Twitter hari ini dihujani pelbagai cemuhan dan kemarahan pengguna susulan keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat memberi peluang kedua kepada pelajar tajaannya, Nur Fitri Azmeer Nordin yang disabit bersalah memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, baru-baru ini.

Rata-rata pengguna laman Twitter menyuarakan bantahan dan perasaan tidak puas hati dengan mewujudkan kata kunci atau hashtag yang kini mula menjadi trending di Twitter.

Antara hashtag yang paling popular adalah #NoSecondChance dan #keeppaedophilesawayfromourkids.

Tindakan MARA memberi peluang kedua kepada pelajar tajaan mereka turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) menyatakan tidak setuju berhubung keputusan tersebut.

“Harap MARA tidak membazir duit rakyat. #NoSecondChance,” tulis KJ dalam entrinya yang sehingga kini mendapat lebih dari 3,142 ‘retweet’.

Dalam perkembangan lain, sebuah petisyen juga turut diwujudkan sebagai meluahkan bantahan supaya tidak memberi peluang kepada pelajar berusia 23 tahun itu untuk mendapat tajaan semula daripada MARA.

Sehingga kini, petisyen yang dibuat oleh pengguna yang mengelarkan dirinya sebagai Sabrina M itu telah mendapat sokongan sebanyak 1,409 tandatangan yang mana mensasarkan target sebenar iaitu sebanyak 2,000 tandatangan.

Difahamkan, petisyen tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, MARA dilaporkan menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri setelah dia disabit bersalah oleh mahkamah di London.

Bagaimanapun, Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Nur Fitri itu akan diberi peluang meneruskan pengajian di mana-mana institusi MARA dalam negara sejurus selesai menjalani hukuman dan kembali ke tanah air.



- mD
Share this article

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 
Copyright © 2014 StyloSAY • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top